Graduan kejuruteraan jual 'Air Jagung Ketagih'



BERNAMA
Alor Setar: Walaupun nama yang diberikan agak pelik, namun ‘Air Jagung Ketagih’ yang diformulasikan dua rakan karib yang berkelulusan kejuruteraan kian mendapat sambutan di daerah ini.
Minuman ini adalah hasil idea Mohd Farizual Aiman Azmi, 27, yang juga pemegang Ijazah Kejuruteraan Pembuatan dan Adnan Hafif Samsudin, 27, yang mempunyai Ijazah Kejuruteraan Am, masing-masing dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“Air jagung ini adalah resepi rahsia kami bagi memberi kelainan dari air jagung di tempat lain walaupun bahan-bahan yang digunakan adalah sama iaitu pes jagung, kordial jagung dan susu pekat,” kata Adnan Hafif ketika dikunjungi Bernama di gerai mereka di Jalan Stadium.
Mengenai sambutannya, beliau berkata dianggarkan antara 300 dan 400 cawan dapat dijual sehari dengan pulangan antara RM1,000 hingga RM1,500.
Secawan air sederhana dan besar dijual antara RM2.50 hingga RM5.50 beserta isi jagung.
“Sambutan orang ramai membuatkan saya tidak lagi kisah dengan status kelulusan saya walaupun sekadar menjual air jagung,” katanya.
Sementara itu Mohd Farizual Aiman berkata, mereka merancang untuk membuka cawangan ketiga di Jitra selepas di Jalan Stadium dan Taman Aman.
“Jualan air jagung ketagih kami mula menjadi fenomena baharu apabila turut menjadi ikutan ramai peniaga yang mula menjual air jagung ditepi-tepi jalan,” tambahnya.
Beliau berkata, usaha mempromosikan air jagung mereka turut dibuat melalui risalah dan Facebook hingga terdapat pembeli dari Perlis, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang mencari gerai mereka apabila berada di Alor Setar.
Seorang pembeli Sabariah Saad, 55, berkata air jagung tersebut mempunyai rasa segar dan sedap.
“Saya singgah dengan suami kerana ingin merasai sendiri keistimewaan air jagung ini dan terbukti ia lebih sedap dan memberi kepuasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017

Share this

loading...
Share on FacebookTweet on TwitterPlus on Google+


EmoticonEmoticon