KAMPAR – Perjalanan pulang seorang jururawat untuk menemui keluarganya berakhir dengan tragedi apabila dia meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 27, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur berhampiran Jeram di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa, Norizan Harun, 33, meninggal dunia di tempat kejadian apabila kenderaan Perodua Myvi yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori bermuatan marjerin.
Mangsa yang juga anak kepada Ketua Polis Balai Malim Nawar difahamkan baru selesai menjalani peperiksaan asas perbidanan di Kolej Sains Bersekutu Sultan Azlan Shah, Hulu Kinta dan pulang ke rumah keluarganya di Malim Nawar.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 26 tahun itu dalam perjalanan dari Kampar menuju ke Ipoh cuba mengelak kenderaan mangsa yang memasuki laluannya.
“Setibanya di lokasi kejadian, lori berkenaan cuba elak ke kanan daripada melanggar kenderaan mangsa yang memasuki laluannya secara tiba-tiba lalu hilang kawalan dan melanggar kereta mangsa sebelum terbalik.
"Keadaan itu menyebabkan lori berkenaan mengelungsur dan melanggar dua kereta lain iaitu Proton Wira yang dipandu seorang penolong pengurus dan Toyota Vios milik kerani di laluan bertentangan,” katanya.
Menurutnya, pertembungan itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduknya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk bedah siasat.
“Tiga mangsa nahas berusia 51, 37 dan 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Semua kenderaan dibawa menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Gopeng.
“Semua mangsa telah diambil keterangan dan tiada tangkapan dibuat namun, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

kredit: sinar harian