PONTIAN - Seorang ibu enam anak di Kampung Parit Yassin, Benut, di sini, hanya mampu terlantar selepas diserang strok.
Lebih menyedihkan, Siti Ruhaiah Hailani, 35, langsung tidak boleh memberikan sebarang tindak balas.
Suaminya, Aruman Rohani, 50, berkata, dia menjaga isterinya sepenuh masa di samping perlu menguruskan makan minum anak-anak yang masih kecil dan bersekolah.
“Selepas empat bulan melahirkan anak bongsu (Nur Najwa Laila, 7 bulan) isteri mula demam panas dan mengalami sesak nafas sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
“Keadaan agak teruk ketika itu dan diberitahu isteri mengalami strok selain terdapat jangkitan kuman pada paru-paru dan ketumbuhan pada injap jantung," katanya di sini, semalam.
Menurutnya, isterinya ditahan di wad Hospital Sultanah Aminah ( HSA) Johor Bahru selama hampir tiga bulan dan sepanjang itu juga dia terpaksa berjauhan dengan anak-anaknya.
“Menangis bila terkenangkan anak-anak, lebih-lebih lagi yang bongsu. Terpaksa hantar dia ke rumah saudara-mara untuk dijaga.
“Mujur anak sulung (Adam, 18) tengah tunggu keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Dia yang tolong jaga empat adiknya (Hannah, 16, Alia Syafiah, 10, Muhammad Fakhrurazi, 9, dan Nur Uzma Batrysia, 5) di rumah,” katanya.
Aruman yang bekerja kampung, berusaha merawat penyakit isterinya termasuk menggunakan rawatan tradisional, namun keadaannya masih tidak berubah.
“Selagi masih bernyawa, saya akan jaga isteri dan anak-anak. Malah anak-anak juga ringan tulang terutama Adam dan Hannah yang tidak kekok masukkan susu melalui tiub di hidung ibunya,” katanya.
Aruman berkata, dia bertuah kerana saudara-mara dan penduduk kampung tidak putus-putus menghulurkan sumbangan ketika dia tidak bekerja kerana perlu menjaga isterinya di hospital.
Menurutnya, dia memerlukan kira-kira RM1,000 setiap bulan bagi membeli susu khas, tiub hidung, lampin pakai buang dan ubat-ubatan untuk isterinya.
“Saya tidak akan pisahkan anak-anak dengan ibunya meskipun ramai yang membuat permintaan untuk mengambil anak saya sebagai anak angkat mereka.
“Biar susah tetapi kasih sayang terhadap mereka tidak ada gantinya,” katanya.
Sementara itu, kakak Aruman, Tuminah, 56, menyifatkan adiknya itu seorang yang kuat semangat kerana perlu menjaga isteri dan anak-anak yang masih kecil.
Tuminah yang juga ibu tunggal turut membantu menjaga anak-anak Aruman ketika dia di hospital menjaga isterinya.
Dalam pada itu, Persatuan Amal Permata Takzim, Persatuan Prihatin Kempas dan Pasaraya Econsave berkunjung ke rumah Aruman untuk menghulurkan sumbangan kerusi roda, katil, tilam, susu dan lampin pakai buang.

kredit : sinar harian