PASIR MAS - Sebuah keluarga di Kampung Chat, Tok Uban di sini, terpaksa tinggal dalam sebuah pondok yang dibina daripada buluh dan kayu terpakai kerana tidak mampu membayar sewa rumah.
Nik Hazmavaizura Nik Khaizad, 30, dan suaminya, Mohd Rosdi Yacob, 41 serta anak angkat mereka, Mohd Adam Irfan Rosdi Abdullah dan Nur Aisyah Rosdi Abdullah masing-masing berumur tujuh tahun tidak mempunyai pilihan kerana tidak berkemampuan untuk mempunyai rumah yang lebih selesa.
Pondok tersebut hanya mempunyai satu ruang yang digunakan oleh empat beranak itu untuk makan, minum, tidur dan memasak serta sebuah bilik air kecil di belakangnya.
Nik Hazmavaizura berkata, sebelum ini mereka sekeluarga tinggal di Kota Bharu dengan menyewa rumah pada kadar RM300 sebulan sebelum berpindah ke sini setahun lalu.
"Kami pindah ke sini setahun lalu kerana tak mampu sewa rumah lagi. Dulu bayaran rumah sewa juga tertunggak berbulan-bulan.
“Hanya pondok ini yang kami mampu sediakan untuk anak-anak walaupun serba kekurangan," katanya.
Menurutnya, suaminya menghidap penyakit saraf dan tidak boleh bekerja berat sepertimana orang lain.
"Tapi sejak tinggal di sini, suami saya ambil upah bantu orang berniaga di pasar malam dan itu pun jika dia sihat.
"Saya pula tak kerja kerana perlu jaga anak angkat kami," katanya.
Tambahnya, bagi menambah pendapatan keluarga, mereka menanam serai, kunyit, lada dan beberapa jenis tanaman di belakang pondok untuk dijual kepada penduduk sekitar.
Katanya, mereka bahagia walaupun hidup dalam serba kekurangan dan tidak pernah memohon apa-apa bantuan sebelum ini kerana malu untuk berbuat demikian.
Nik Hazmavaizura berkata, ada sanak saudara yang membantu tetapi mengikut kemampuan mereka sahaja.
“Kami ada impian nak tinggal di sebuah rumah selesa tapi disebabkan masalah kewangan ia hanyalah angan-angan saja.
“Sekarang ni apa yang lebih penting adalah memastikan kedua-dua anak angkat kami dapat pendidikan terbaik,” katanya.
Menceritakan mengenai anak angkat mereka, Nik Hazmavaizura berkata, dia mengambil Mohd Adam dan Nur Aisyah sebagai anak angkat ketika usia perkahwinannya tujuh tahun.
Bagaimanapun Nur Aisyah yang diambil dari pasangan warga Thailand masih lagi tidak mempunyai status sebagai warganegara sehingga sekarang.
Dia yang sudah 14 tahun berumah tangga berkata, mereka berharap sangat anak perempuannya itu akan mendapat status sebagai rakyat negara ini dengan segera.
“Kami dah buat permohonan tapi masih belum diluluskan dan berharap sangat dapat disegerakan.
“Kedua-dua anak kami kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kepas,” katanya

kredit : sinar harian