Harga petrol, diesel dijangka tinggi tahun ini

          

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol dan diesel dijangka kekal tinggi pada tahun ini berdasarkan situasi ekonomi semasa, yang mana menyaksikan penganalisis global menaikkan unjuran harga purata penanda aras harga minyak dunia, Brent dan West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS).
Harga penanda aras berkenaan masing-masing dinaikkan kepada AS$61.3 satu tong (RM271.16 satu tong) dan AS$59.0 satu tong (RM260.99 satu tong) pada tahun ini.
Bank pelaburan terkemuka Eropah, Natixis berkata, pihaknya menjalankan semakan semula terhadap unjuran harga minyak bagi kedua-dua penanda aras itu bagi suku pertama (Q1) dan kedua (Q2) 2017.
"Semakan semula dilakukan berikutan terdapat pengurangan perbelanjaan modal sejak dua tahun lalu, kos inflasi selain daripada perjanjian pengurangan pengeluaran oleh OPEC dan pengeluar lain.
"Pengurangan pengeluaran minyak oleh OPEC dan anggota bukan OPEC bermula 1 Januari 2017, meskipun terdapat pemulihan sederhana dalam pengeluaran minyak AS akan memberi kesan kepada harga minyak global," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Natixis berkata, pengurangan bekalan minyak pada peringkat global dijangka berterusan sepanjang tempoh separuh kedua tahun ini (H2 2017).
"Pengurangan itu mungkin dipengaruhi dua faktor utama iaitu 80 peratus kemungkinan disebabkan pematuhan perjanjian OPEC dan pengeluar lain dan pemulihan sederhana dalam pengeluaran di AS.
"Menurut perjanjian itu, anggota OPEC dan bukan OPEC mencapai persetujuan untuk mengurangkan pengeluaran minyak kepada 1.2 juta tong sehari (bpd) kepada 31.96 juta bpd, sementara pengeluaran di AS ialah meningkat sehingga 250,000 bpd berbanding paras siling yang ditetapkan pada 2016," katanya.
Bagaimanapun, menurut jangkaan bank pelaburan itu, inventori minyak pada tahun ini dijangka meningkat jika usaha mengekang pengeluaran oleh OPEC menemui kegagalan.
"Pada masa sama, faktor kenaikan berterusan bagi minyak mentah dan stok simpanan bahan api AS juga akan menjejaskan keseimbangan harga minyak dunia," katanya.
Data daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA), pada 2 Februari lalu, inventori minyak mentah AS meningkat minggu lalu pada kadar yang tidak dijangka iaitu 6.5 juta tong kepada 494.76 juta tong.
Peningkatan stok minyak mentah itu jauh melebihi daripada jangkaan penganalisis iaitu sebanyak 3.3 juta tong.
Manakala, stok bahan api menokok sebanyak 3.9 juta tong, berbanding jangkaan penganalisis hanya naik satu juta tong.
Menurut data berkenaan lagi, inventori di AS, pengguna minyak terbesar dunia, menghampiri rekod penggunaan tertinggi tahun lalu dan pengeluaran domestik turut bertambah susulan kenaikan aktiviti penggerudian minyak syal oleh syarikat minyak AS.
Info:
- Harga Brent berlegar sekitar AS$55 setong (RM243.29 setong) pada akhir Disember 2016 dan Januari 2017.

kredit.BHonline

Share this

loading...
Share on FacebookTweet on TwitterPlus on Google+


EmoticonEmoticon